JOHOR BAHRU: Suami sedang meringkuk di penjara manakala isterinya pula meneruskan ‘kerja-kerja kotor’ ditinggalkan lelaki itu dengan terlibat sindiket penyeludupan dadah ke Bengkalis, Indonesia.
Namun tindak-tanduk wanita berusia 31 tahun itu terbongkar apabila dia merupakan enam individu ditahan polis menerusi tiga serbuan di sekitar Muar, sejak Selasa lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua enam suspek berusia 20 tahun hingga 39 tahun ditahan setelah pihaknya menghidu kegiatan sindiket menyeludup dadah ke negara jiran.
Beliau berkata, dalam operasi pertama, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan bot fiber dinaiki dua lelaki mencurigakan di perairan Parit Sakai, Muar pada pukul 9.30 pagi, Selasa lalu sekali gus menemukan dadah jenis syabu seberat 1.07 kilogram kilogram.
“Susulan serbuan tersebut membawa kepada penahanan seorang wanita dan anak saudaranya pada pukul 4 petang manakala keesokan harinya di dalam sebuah kereta di kawasan kebun kelapa ditemukan 14.6 kilogram syabu serta 9,905 pil ekstasi dengan nilai rampasan RM924,190.
“Hasil siasatan mendapati wanita itu meneruskan kegiatan suaminya yang kini meringkuk dalam penjara dengan terlibat dalam sindiket menyeludup dadah ke Bengkalis. Difahamkan, mereka mempunyai saudara di sana dan ini modus operandi yang digunakan dengan membawa bekalan dadah dari Kuala Lumpur ke Muar untuk dibawa ke Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, dalam operasi berasingan, sepasukan polis daripada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar melakukan satu operasi khas ke atas sindiket penyeludupan dadah berlainan dengan menahan dua lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pada pukul 2.30 petang, kelmarin.
Beliau berkata, ekoran penahanan dua ahli sindiket terbabit yang menggunakan modus operandi sama, polis merampas 3.1 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM124,000.
Tambah beliau, pihaknya kini sedang menyiasat isteri suspek warga Indonesia itu iaitu seorang wanita tempatan berusia 30-an bekerja sebagai penjawat awam sama ada turut ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah tersebut.
“Dalam tiga serbuan yang dilakukan ini, polis melumpuhkan kegiatan dua sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran dan membuat rampasan dadah bernilai lebih RM1 juta.
“Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, bermula awal tahun hingga Rabu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor membuat tangkapan 15,859 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan membuat rampasan dadah sebanyak 2.3 tan dadah dengan anggaran nilai RM27.21 juta. – UTUSAN ONLINE