SKMM tidak beri mesej tuntut hadiah wang tunai - Utusan Malaysia

SKMM tidak beri mesej tuntut hadiah wang tunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam yang ditularkan di pelbagai platform media sosial untuk menuntut hadiah berupa wang tunai.

SKMM dalam satu kenyataan memberitahu, tuntutan hadiah itu kononnya dibuat di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, e-mel tular dalam media sosial antara lain turut mendakwa hasil pemantauan dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati mangsa masih mempunyai transaksi belum diselesaikan.

“Ia melibatkan transaksi belum diselesaikan dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah skim TM Family Gift Bonus.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor akaun bank kepada individu tidak dikenali.

SKMM turut menegaskan bahawa sebarang penggunaan logo SKMM oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kelulusan adalah satu kesalahan.

“Sebarang laporan dan aduan berhubung penerimaan mesej sedemikian boleh dimajukan kepada pihak SKMM melalui talian aduan 1 800 188 030 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-2206262,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya