PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunggu masa sesuai memanggil beberapa individu yang disyaki ada kaitan dengan skandal penjualan hartanah di Melbourne, Australia kepada Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) pada 2013.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pada dasarnya pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bersetuju membuat pertuduhan terhadap beberapa pihak namun terdapat beberapa kekangan masih dihadapi.
“Kami tengah mengaturkan masa membuat pertuduhan kerana mungkin salah seorang tertuduh tinggal di Sabah dan sedang menjalani tempoh kuarantin.
“Tiada pelindungan kepada mana-mana pihak dalam kes ini kerana kami memang tegas dalam menjalankan siasatan, cuma hanya perlu menunggu masa sahaja,” katanya dalam temu bual SPRM 360 disiarkan secara langsung menerusi MACC FM di sini hari ini.
Bulan lalu, SPRM memaklumkan beberapa individu mungkin dituduh berhubung dakwaan penyelewengan penjualan hartanah Dudley International House kepada Mara Inc pada 2013.
Menurut Azam, perbincangan dilakukan SPRM bersama DPP bagi melihat kemungkinan pendakwaan boleh dilakukan terhadap individu terlibat.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) Ogos lalu menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan terhadap itu.
Ia susulan pendakwaan mahkamah terhadap seorang individu yang dipercayai rakyat Malaysia yang bermastautin di Australia atas tuduhan merasuah pegawai negara ini dan empat lagi pertuduhan berkaitan penjualan hartanah berkenaan.
Pada 5 Ogos lalu, portal The Sydney Morning Herald melaporkan bahawa individu terbabit didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai negara ini dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House kepada Mara Inc.
Boon Lye Teen, atau dikenali sebagai Dennis Teen, 68, dituduh melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2013 di Vermont South, Melbourne.
Berdasarkan butiran mahkamah, harga hartanah dipersetujui untuk dijual pada AU$17.85 juta (RM 53.55 juta), namun kemudian dijual lebih tinggi iaitu AU$22.6 juta (RM67.8 juta) dengan AS$4.75 juta (RM14.25 juta) digunakan untuk membayar pegawai awam di Malaysia. – UTUSAN