JOHOR BAHRU: Sekolah Kebangsaan (SK) Masai dan Sekolah Agama As-Syakirin, Masai, Pasir Gudang di sini tutup tujuh hari sehingga 17 Oktober ini.
Menurut surat rasmi yang dikeluarkan SK Masai, sekolah ditutup susulan terdapat kes positif Covid-19 berlaku di sekolah berkenaan.
“Merujuk kepada kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung penutupan sekolah yang disahkan mempunyai kes positif Covid-19 bertarikh 9 Oktober 2020.
“Pihak sekolah ingin memaklumkan SK Masai akan ditutup bermula 11 Oktober sehingga 17 Oktober ini,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu, sekolah akan dibuka semula pada 18 Oktober ini.
Susulan penutupan SK Masai itu, pihak Sekolah Agama As-Syakirin Masai turut mengambil langkah sama bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari mengesahkan penutupan sekolah berkenaan. – UTUSAN ONLINE