Sindiket palsu dokumen wasiat tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket palsu dokumen wasiat tumpas

CHE Zakaria Othman (dua dari kanan) menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis membongkar satu sindiket menukar hak milik dan nombor pendaftaran kenderaan melibatkan pemilik yang sudah meninggal dunia dengan memalsukan dokumen pendaftaran harta pusaka.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pihaknya membuka siasatan selepas menerima laporan daripada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Pilah dan Seremban mengenai penggunaan dokumen palsu untuk menukar nama pemilik dan nombor kenderaan.

“Susulan siasatan berkenaan, seorang lelaki berusia 38 tahun berasal dari Melaka ditahan pada 30 September lalu ketika membuat urusan pertukaran nama di pejabat JPJ Seremban.

“Pada hari sama, kami menahan dua lagi suspek yang merupakan pasangan suami isteri di Jalan Sungai Alai, Melaka dan tangkapan terakhir di lokasi sama semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Che Zakaria, semua suspek yang menjalankan perniagaan menjual insurans kenderaan dikesan mula menggunakan dokumen palsu untuk urusan penukaran hak milik kenderaan di JPJ sejak tahun ini.

“Ketika memohon untuk menukar hak milik dan nombor pendaftaran kenderaan pemilik yang sudah meninggal dunia, mereka melalui proses yang sah tetapi menggunakan Borang E Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995 dari Pejabat Tanah dan Galian Daerah Melaka Tengah, Melaka yang dipalsukan.

“Kebanyakan kenderaan ini mempunyai nombor pendaftaran yang menarik dan kami percaya mereka turut menjual nombor pendaftaran ini antara harga RM200 hingga RM1,000,” jelasnya.

Tambahnya, susulan tangkapan itu, polis merampas 140 keping geran kenderaan, 32 nombor pendaftaran, tujuh cap timbul, 10 keping Borang E Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1995, pelbagai jenis cap, sebuah kereta, 14 motosikal dan pelbagai barangan lain.

Beliau berkata, polis bekerjasama dengan JPJ Negeri Sembilan bagi mengesan jumlah sebenar urus niaga tukar hak milik yang dilakukan sindiket itu dan kemungkinan ia turut dilakukan di negeri-negeri lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu yang boleh dihukum penjara 10 tahun dan sebatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya