Sempadan Kelantan-Thailand punca masalah dadah - Utusan Malaysia

Sempadan Kelantan-Thailand punca masalah dadah

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Sapiai@Shafien Mamat melihat dadah dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada 7 Oktober 2020. -UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA  BHARU:  Laluan haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand  faktor yang memberi impak besar kepada masalah dadah negeri ini.

Statistik  menunjukkan sebanyak RM94 juta dadah dirampas daripada 13,887 individu ditangkap bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, bagi tempoh sama pada 2019, sebanyak RM41 juta dadah dengan tangkapan seramai 15, 521 individu direkodkan.

“Pecahan tangkapan tempoh sama tahun ini membabitkan 538 remaja dan penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta  berbanding tahun sebelumnya seramai 340 orang,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia 15 hingga 50 tahun  dan dilakukan menerusi OPS Tapis oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Pasukan Gerakan Am (PGA).

Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2); Seksyen 15(1)(a); Seksyen 39A(1); Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, dadah yang dirampas pula kebanyakan pil kuda, pil ekstasi, eramin 5, syabu, heroin, ganja, ubat batuk, air dan daun ketum.

Tambahnya, bekalan dadah  banyak dibawa masuk dari negara jiran dan dilakukan pihak tertentu, sebelum diedar dalam pasaran.

Dalam pada itu, katanya, operasi berterusan dilakukan dalam usaha membanteras kegiatan dadah di negeri ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dadah supaya menyalurkan segera kepada pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN