KUALA TERENGGANU: Polis mengambil inisiatif melakukan 16 sekatan jalan raya di seluruh negeri ini hari ini sebagai langkah proaktif mengekang penularan pandemik Covid-19.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, sekatan jalan raya secara bergerak setiap empat jam di lokasi berbeza itu bertujuan mengawal pergerakan keluar masuk penduduk setempat ke daerah-daerah lain.
“Selain membuat sekatan, anggota dan pegawai polis bertugas memastikan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Menerusi langkah proaktif ini, sedikit sebanyak diharap dapat mengurangkan dan melambatkan pergerakan keluar masuk masyarakat ke bandar atau ke daerah lain,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Roslee, poli terus menasihatkan orang ramai agar mengamalkan kembali SOP dengan mengehadkan jumlah penumpang dalam kenderaan untuk ke mana-mana destinasi selaras dengan arahan Kementerian Kesihatan yang tidak menggalakkan warga emas dan kanak-kanak ke tempat sesak.
Pada masa sama, katanya, pelaksanaan sekatan jalan raya itu ibarat serampang dua mata yang membantu polis mencegah aktiviti penyeludupan dan lain-lain jenayah di negeri ini.
“Kita di IPK Terengganu mempunyai pasukan pematuhan Covid-19 erdiri daripada anggota polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain jabatan yang ditingkatkan daripada 60 pasukan kepada 93 pasukan dengan kekuatan seramai 544 anggota.
“Pasukan ini berkunjung ke kilang, pasar raya, pasar dan lain-lain tempat untuk memastikan masyarakat mematuhi SOP dan jika disabitkan bersalah, kompaun boleh dikeluarkan serta-merta oleh pegawai berpangkat inspektor tanpa perlu ke balai polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE