PORT DICKSON: Seorang anggota polis tidak menyangka perkongsiannya mengenai pertolongan yang dihulurkan kepada pasangan suami isteri yang kehabisan minyak motosikal di Tanjung Agas dekat sini, menjadi tular.
Anggota dari Unit Kereta Peronda MPV Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Lans Koperal Muhammad Rais Sarip, 29, berkata, dia memuat naik status bergambar berkenaan sebagai simpanan peribadinya mengenai kisah masyarakat yang ditemukannya semasa melakukan tugasan.
Menurutnya, status bergambar berkenaan menjadi tular dalam laman sosial Facebook sehingga mendapat lebih 1,400 reaksi dan 673 perkongsian sehingga pukul 6 petang tadi.
“Seperti biasa, saya bersama Incas (Koperal Muhamad Nizam Adzali) dan dua anggota tentera melakukan rondaan. Dari jauh, kami melihat dengan jelas seorang lelaki sedang menolak sebuah motosikal sementara seorang wanita berada di atas motosikal berkenaan.
“Sebaik sahaja menghampiri motosikal berkenaan, kami nampak wanita itu mendukung bayi perempuan berusia kurang dua tahun. Kami pun segera memberhentikan kenderaan dan bertanyakan masalah yang dihadapi pasangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muhammad Rais berkata, pasangan berkenaan menyatakan mereka sudah kehabisan minyak dan dia menganggarkan stesen minyak berhampiran pula terletak sekitar 10 kilometer dari lokasi berkenaan.
Menurutnya, kediaman pasangan suami isteri berkenaan pula di Batu 12, Jalan Pantai iaitu terletak kira-kira 25 kilometer daripada lokasi tersebut.
“Atas dasar itu, kami menghulurkan bantuan dan mencari minyak petrol berdekatan. Ditambah dengan keadaan cuaca yang agak panas terik.
“Kira-kira tujuh kilometer dari lokasi berkenaan, seorang pemilik kedai runcit menghulurkan bantuan memberikan petrol miliknya secara percuma buat pasangan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan mereka itu merupakan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab polis dalam membantu masyarakat yang sedang mengalami kesusahan. – UTUSAN ONLINE