Saya percayakan Saarani - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Saya percayakan Saarani – Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak percaya wujud komplot oleh Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) daripada UMNO untuk menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar.

Beliau berkata, Exco berkenaan yang juga Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad adalah guru politiknya.

Katanya, beliau amat menghormati Saarani apatah lagi mereka kini satu pasukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya percayakan Saarani, kami satu pasukan. Saya tak percaya beliau atau sesiapa dalam pasukan kami yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan sesama sendiri, saya tak percaya,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Masjid Sultan Azlan Shah di sini malam tadi..

Ahmad Faizal turut menjawab keraguan mengenai hubungan beliau dengan Saarani yang dikatakan tidak baik dengan menegaskan sudah lama mengenali Saarani.

“Sebenarnya ramai orang tak tahu hubungan saya dengan Datuk Saarani jauh lebih lama dengan yang lain-lain iaitu sewaktu saya bersama Pemuda (UMNO) lagi.

“Beliau banyak mendidik saya dalam bidang politik dan saya menghormati beliau sebagai orang yang lebih tua.

“Hari ini kami dalam satu pasukan, saya sentiasa menerima pandangan sebelum membuat apa-apa keputusan. Hubungan kami cukup baik,” katanya.

Beliau menjawab spekulasi wujud komplot menjatuhkannya berikutan hubungan kurang baik dengan Saarani.

Saarani dikatakan mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal dengan sokongan daripada wakil rakyat Pas, PKR dan DAP.

Sementara itu, mengenai pelantikan wakil rakyat UMNO, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politiknya, beliau berkata, perkara itu tiada masalah.

“Orang kata ada masalah (pelantikan Aznel) tapi sebenarnya tak ada masalah, Pas pun terima baik pelantikan ini.

“Pelantikan ini berasaskan kami satu keluarga, bukannya Pas, bukan UMNO, bukan Barisan Nasional (BN), bukan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tapi kami kerajaan Perikatan Nasional,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN