Saya faham kesukaran rakyat - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Saya faham kesukaran rakyat – Muhyiddin

MUHYDDIN Yassin berswafoto dengan salah seorang ahli koperasi pada Majlis Perasmian Mesyuarat Koperasi Sungai Terap, Bukit Pasir, SMK Bukit Pasir, Muar. Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kerajaan sangat memahami kesukaran dialami rakyat negara ini yang terkesan dengan kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sentiasa berdoa dan berharap agar keadaan Covid-18 dapat pulih segera bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang.

Kata beliau, rakyat dan kerajaan berganding bahu untuk bertahan secara bersama dalam tempoh agak sukar berkenaan.

“Saya tidak boleh menasihatkan rakyat untuk mengikat perut. Saya takut nak cakap sebenarnya, takut tersalah cakap. Saya tahu ramai di luar sana yang mengalami kesusahan.

“Ada yang kata saya Perdana Menteri, tentulah dia boleh hidup, yang di bawah ini susah. Namun saya amat faham apa dialami rakyat dan kerajaan berusaha yang terbaik bagi membantu rakyat terjejas.

“Tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri amat besar dan berat namun saya bersyukur dengan doa rakyat, saya mampu terus bekerja. Yang penting rakyat dan kerajaan berganding bahu bagi mengekang wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Koperasi Sungai Terap di Dewan Seri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Pasir, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin melahirkan perasaan sedih dan kasihan terhadap pengorbanan barisan hadapan yang bekerja tanpa henti sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Beliau berkata, mereka kini sudah sampai ke tahap ‘penghujung’ dan tidak terdayai dalam memastikan negara selamat daripada terus dijangkiti virus Covid-19.

“Saya amat sedih dan kasihan dengan frontliner (barisan hadapan) kita seperti doktor, jururawat, polis, tentera, bomba dan pelbagai lagi.

“Ini satu pengorbanan yang luar biasa. Orang kata ‘wira yang tak didendang’, jadi kita harus ucap terima kasih kepada mereka barisan hadapan yang korban masa dan keluarga untuk bantu kita supaya selamat daripada Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan kerajaan kini mengalami kesukaran dalam mengimbangkan kehidupan rakyat di samping berusaha menyelamatkan ekonomi negara terjejas teruk.

“Masalah kita apabila buka kembali ekonomi, masyarakat mula bergerak ke sana dan ke sini untuk memulihkan kembali ekonomi.

“Sekarang agak sukar untuk kerajaan mengimbangkan antara kehidupan rakyat dan usaha menyelamatkan ekonomi.

“Kerajaan perlu membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi seperti biasa, namun dalam masa yang sama perlu membendung penularan Covid-19 dengan sekatan-sekatan tertentu. Ini satu perkara yang sukar bagi kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN