Sarawak larang kemasukan dari Sabah, Labuan - Utusan Malaysia

Sarawak larang kemasukan dari Sabah, Labuan

SARAWAK melarang kemasukan orang ramai dari Sabah dan Labuan kecuali rakyat negeri itu berkuat kuasa 4 Oktober hingga 18 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua warganegara dan bukan warganegara yang berada di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dibenarkan memasuki Sarawak selama dua minggu berkuat kuasa 4 Oktober hingga 18 Oktober ini.

Timbalan Ketua Menteri me­rangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan jangkitan wabak Covid-19 setiap hari terutama­nya di Sabah.

Bagaimanapun, rakyat Sa­rawak yang berada di Sabah dan Labuan dibenarkan untuk pulang ke negeri itu namun perlu mengemukakan permohonan melalui aplikasi EnterSarawak dan mengisi borang pengisytiharan kesihatan secara dalam talian.

“Mereka yang masuk ke negeri ini juga perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan mengambil ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 pada hari kedua dan hari kesepuluh manakala kerajaan Sarawak akan menanggung kos kuarantin berkenaan,” katanya pada sidang media ha­rian perkembangan Covid-19 Sarawak, semalam.

Dalam pada itu, bagi warganegara atau bukan warganegara di Semenanjung yang merancang ke Sarawak juga perlu memohon melalui aplikasi tersebut, mengisi borang pengisyiharan kesihatan sama serta menjalani kuarantin selama dua minggu namun kos kuarantin adalah atas tanggungan sendiri.

“Hanya rakyat Sarawak dibenarkan masuk dari Semenanjung Malaysia tetapi perlu memohon melalui aplikasi dan borang yang dinyatakan serta perlu menjalani kuarantin 14 hari manakala ujian Covid-19 pula akan diambil pada hari kedua dan hari kesepuluh,” katanya.

Amar turut menjelaskan, bagi mereka yang dikategorikan dalam kelompok Perkhidmatan Penghantaran yang menggunakan jalan darat merentasi sempadan Malaysia-Brunei perlu mendapatkan surat khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian di Miri atau Limbang dan wajib mengambil ujian RT-PCT Covid-19 sebelum memulakan tugasan manakala ujian seterusnya wajib diambil pada setiap hari ke-14 sehingga arahan seterusnya.

Ia antara lain mewajibkan mana-mana individu yang berada dalam kategori Perkhidmatan Penting wajib mengambil ujian RT-PCT Covid-19 tiga hari sebelum penerbangan.

“Negara jiran, Brunei juga sudah memperketatkan kemasukan warga negara asing dari pos-pos kawalan sempadan darat mereka, justeru itu, JPBN merangka strategi untuk melindungi negeri ini daripada terus menerima masuk kes import dari luar negeri,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya