SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengalami kesukaran melakukan operasi sanitasi awam di penempatan warga asing.
Pengarah Bomba negeri, Norazam Khamis berkata, kesukaran berlaku kerana warga asing tidak memahami prosedur dan cara kerja sanitasi.
Menurut beliau, kebanyakan warga asing tidak menghiraukan jika pasukan bomba melakukan sanitasi, seolah-olah ia tidak penting.
“Berbeza dengan orang tempatan yang memahami dan mereka berterima kasih dengan bomba kerana melaksanakan sanitasi,” kata beliau ketika mengikuti sanitasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 25 anggota dan pegawai kanan melakukan sanitasi di UTC Shah Alam yang mempunyai 17 agensi kerajaan dan 66 buah kedai.
Mengulas lanjut, Norazam berkata, sejak Mac lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 916 operasi sanitasi awam.
Daerah Petaling mencatatkan operasi sanitasi paling tinggi iaitu 130, diikuti Hulu Langat (105); Hulu Selangor (92); Klang (85) dan Kuala Langat (75).
“Di Sepang sebanyak 72 operasi sanitasi, Kuala Selangor (66); Sabak Bernam (61) dan Gombak (60). Bakinya melibatkan sanitasi ke atas bas iaitu 170 bas dibawa untuk sanitasi,” ujarnya. – UTUSAN