Sanggup buat laporan palsu untuk tuntut insurans - Utusan Malaysia

Sanggup buat laporan palsu untuk tuntut insurans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gara-gara membuat laporan polis palsu berhubung satu kemalangan bagi memudahkan tuntutan insurans, dua lelaki bakal berdepan hukuman penjara maksimum enam bulan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-dua pemandu berusia 29 tahun dan 59 tahun itu dipercayai berbuat demikian bagi mengelakkan diri daripada diambil tindakan atas kecuaian sendiri serta memudahkan urusan insurans.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek memalsukan tarikh, lokasi dan punca kemalangan dengan tujuan mengelak daripada diambil tindakan kerana gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam tanpa alasan munasabah.

“Mereka juga dipercayai berbuat demikian bagi mengelakkan diri daripada diambil tindakan atas kecuaian sendiri serta bagi memudahkan urusan insurans.

“Kes pertama membabitkan kemalangan yang berlaku pada 2 Oktober lalu di Jalan Rosmerah namun dilaporkan berlaku pada 7 Oktober. Kes kedua pula membabitkan kemalangan yang berlaku pada 6 Oktober lepas tetapi juga dilaporkan pada 7 Oktober,” katanya di sini hari ini.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, kedua-dua pemandu itu diambil tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan kemalangan palsu kepada polis.

Jika sabit kesalahan, katanya, boleh dikenakan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa membuat laporan tepat berhubung kemalangan jalan raya atau kejadian jenayah.

‘Polis memandang serius perkara tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya