Oleh ZAKI SALLEH
[email protected]
IPOH: Tiga lagi lokasi tarikan pelancongan baharu bakal dibuka di negeri ini tidak lama lagi dan diyakini mampu meningkatkan kehadiran pengunjung luar.
Lokasi tersebut ialah galeri dan Rumah Lat iaitu kartunis tersohor negara; Maze Garden@ TT5 (Kapal Korek Tanjung Tualang) dan Silverlakes Village Outlet yang kesemuanya terletak di Batu Gajah.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, ketiga-tiga lokasi itu memiliki daya tarikan tersendiri selain kedudukannya yang mudah diakses dan berdekatan Ipoh.
Menurut beliau, galeri dan Rumah Lat yang dibina mengikut reka bentuk rumah tradisional Perak dan menempatkan karya-karya kartunis Kampung Boy itu akan dibuka pada November ini.
“Maze Garden@ TT5 yang terletak di Warisan Kampung Korek Tanjung Tualang berusia 82 tahun pula dijangka menerima pengunjung Disember nanti.
“Silverlakes Village Outlet iaitu pusat beli-belah seperti Johor Premium Outlet pula dijangka dibuka tahun depan,” katanya ketika berucap pada program Business Matching #TravelPeraklah di sini semalam.
Program tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dengan kerjasama Malaysian Chinese Tourist Association bagi memacu industri pelancongan.
Program itu disertai 40 pengendali syarikat pelancongan tempatan, ejen pelancongan serta wakil hotel dan 42 agensi pelancongan.