RM106,500 simpanan TH, bank dikebas Macau Scam - Utusan Malaysia

 RM106,500 simpanan TH, bank dikebas Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pekerja swasta rugi RM106,500 apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Pejabat Pos Kuala Lumpur dari September hingga Oktober lalu.

Sebahagian wang tersebut daripada simpanan Tabung Haji mangsa.

Lelaki berusia 35 tahun itu menerima panggilan telefon seorang lelaki menyamar kakitangan Pejabat Pos Kuala Lumpur yang mendakwa mangsa terlibat pengubahan wang haram dan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa menafikan tuduhan tersebut sebelum disambungkan talian ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Mangsa diminta menelefon talian 999 untuk membuat laporan polis secara dalam talian dan bercakap dengan ‘Koperal Zulhanif’ dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

“Mangsa kemudian diarahkan ke Seremban atau waran tangkap akan dikenakan. Suspek turut mengarah mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan kononnya sebagai pelindungan insurans,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pada 29 September hingga 1 Oktober mangsa memasukkan wang  RM106,500 secara berperingkat ke dalam akaun itu.

“Kesemua wang tersebut adalah hasil simpanan Tabung Haji dan simpanan bank mangsa yang lain.

“Mangsa menyedari terperdaya apabila hal tersebut diceritakan kepada anggota keluarga,” katanya.

Kata beliau, mangsa kemudian membuat laporan  di Balai Polis Sungai Petani pada pukul 1.54 petang, 1 Oktober.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya