ALOR SETAR: Sepasang suami isteri dari Kampung Tanjung Inggeris, di Langgar di sini resah memikirkan kesihatan anak tunggal mereka yang mengalami kecacatan kekal pada otak semakin merosot.
Umar Fahim, 2, anak pasangan Mohd. Taufik Md. Sabri, 47, dan Munirah Mohd. Said, 42, menghidap penyakit semilobar holoprosencephaly selain sumbing yang mana kerap diserang sawan dan pengsan sejak kebelakangan ini.
Munirah berkata, keadaan kesihatan anaknya yang tidak menentu menandakan keadaan otaknya semakin buruk.
“Umar Fahim satu-satunya anak kami yang mana segala kasih sayang dicurahkan kepadanya.
“Bagaimanapun, kami sedar kemungkinan yang bakal berlaku memandangkan kesihatannya semakin merosot dari sehari ke sehari,” katanya ditemui di rumahnya di sini semalam.
Katanya, dia dan suami pasrah jika ditakdirkan anak kesayangan mereka itu pergi dahulu.
“Semua orang tahu mereka yang mempunyai penyakit ini tidak boleh hidup lama. Ada yang sebaya dengannya sudah tiada dan paling tua, 11 tahun di Langkawi.
“Saya dan suami reda andai Fahim tiada lagi nanti tetapi sekarang kami ingin menjaganya dengan penuh kasih-sayang kerana dianugerahkan Fahim setelah 12 tahun berkahwin,” ujarnya.
Jelasnya, walaupun dalam keadaan serba kekurangan kerana suami hanya berniaga roti canai, mereka menjaga Umar Fahim bagai menatang minyak yang penuh.
“Syukur kerana kami dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan dan RM500 setahun dari pejabat zakat. Dapat juga beli barang keperluannya termasuk susu dan lampin.
“Fahim hanya boleh minum susu menggunakan tiub khas,” katanya.
Tambahnya, dia dan suami membawa Umar Fahim bersiar-siar jika ada kelapangan.
“Walaupun ada juga pandangan serong tetapi saya tetap bahagia kerana ada anak syurga,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada Umar Fahim boleh menghubungi Munirah di talian 017 4313669. – UTUSAN ONLINE