KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Perodua Bezza di Jalan Dusun Muda, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kemalangan itu berlaku pukul 2 petang ketika mangsa, Asyrafdanial Shamsury Abdul Aziz,18, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave ari arah Kampung Rambutan Rendang menghala ke Kampung Cherang.
“Apabila sampai di lokasi sebelum lampu isyarat Cherang, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan tidak sempat membrek lalu melanggar bahagian belakang Perodua Bezza yang diletakkan di kiri jalan.
“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, ketika kejadian pemandu kereta berusia 30 tahun tiada di situ kerana menunaikan solat Jumaat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Habis
Kapsyen:
BAHAGIAN belakang Perodua Bezza yang dirempuh motosikal ditunggang seorang remaja dalam kemalangan maut di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu, semalam. – IHSAN POLIS