SHAH ALAM: Empat individu termasuk seorang asisten superintenden polis (ASP) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung rasuah bulanan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing dua tahun lalu.
Turut direman dua anggota polis berpangkat sarjan termasuk seorang telah bersara dan seorang wanita iaitu pemilik syarikat pembekal pekerja asing.
Kesemua yang berumur 39 hingga 60 tahun direman tiga hari mula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Terdahulu, suspek-suspek dibawa ke Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diiringi pegawai SPRM.
Satu sumber berkata, mereka ditahan pukul 9.50 hingga 9.57 malam semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Kata sumber itu, tiga termasuk pegawai kanan polis itu disyaki menerima rasuah bulanan RM500 hingga RM5,000 daripada seorang wanita yang menjadi pemilik syarikat pembekal pekerja asing.
“Rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing yang tiada dokumen perjalanan.
Kesalahan tersebut dilakukan antara tahun 2018 dan 2019.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan tersebut. – UTUSAN