Rasuah: Bekas GM Kanan FGV didakwa lagi - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas GM Kanan FGV didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Pengurus Besar Kanan FGV Holdings Berhad didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000, Mac lalu.

Tertuduh, Norazam Abdul Hameed, 52, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memperoleh suapan wang tunai RM10,000 daripada Mohd. Rizal Md. Kassim sebagai upah untuk melakukan sesuatu perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal.

Suapan itu dipercayai sebagai balasan mengesyorkan pelantikan Syarikat MRA Sustainable Solution sebagai auditor bagi pensijilan International Sustainable Carbon Certification (ISCC) untuk lapan buah kilang sawit.

Lapan buah kilang tersebut ialah Kilang Keratong 9, Kilang Palong Timur, Kilang Maokil, Kilang Bukit Sagu, Kilang Lepar Hilir, Kilang Serting Hilir, Kilang Lepar Utara 06 dan Kilang Serting.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di kawasan parkir Jalan Prima Saujana, Taman Saujana Prima, Kajang dekat sini antara pukul 10.45 hingga 11.05 pagi pada 2 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama (Akta 694).

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohd. Hisyam Md. Nen mewakili tertuduh memohon ikat jamin dikurangkan berikutan anak guamnya adalah penanggung tunggal dalam keluarga selain perlu menyara anak-anak yang masih bersekolah selain tidak bekerja lebih dari setahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Selain itu, Hakim Rihaida juga membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berikutan tertuduh mempunyai pertuduhan di mahkamah tersebut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Norazam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima RM10,000 daripada individu sama sebagai dorongan mencadangkan syarikat MRA Sustainable Solution bagi kerja-kerja pengauditan persijilan International Sustainable Carbon Certification (ISCC) di beberapa premis pada 1 Mac tahun lalu.

Tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Seremban esok atas pertuduhan di bawah Seksyen 16a(A). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN