KLUANG : Seorang wanita warga emas lebam lengan dan kaki manakala rantai leher perkahwinannya bernilai kira-kira RM11,000 lesap akibat diragut penjenayah di Jalan Resak di sini semalam.
Menurut mangsa, B. Nagamah, 76, sebelum kejadian, peragut yang menunggang motosikal dilihat berlegar-legar di hadapan rumahnya, namun dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk.
“Saya keluar rumah kira-kira 9.15 pagi untuk membuang sampah dan selepas itu saya berjalan jalan kira-kira 100 meter ke rumah jiran.
“Apabila saya ingin berpatah balik, tiba-tiba sebuah motosikal berhenti di tepi saya sebelum pemboncengnya turun dan terus merentap rantai leher dan menolak saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya, selepas kejadian dia berada dalam ketakutan dan hanya menangis berjalan pulang ke rumah sebelum memanggil cucunya untuk memberitahu kejadian berkenaan.
“Kejadian terlalu pantas dan saya tidak melihat wajah penjenayah itu kerana mereka memakai topi keledar,” katanya.
Anak mangsa, S. Santhi, 45, berkata, dia menerima panggilan memaklumkan kejadian dan bergegas pulang ke rumah daripada bertugas sebagai penyelia sebuah kilang di sini.
Katanya, akibat kejadian itu, ibunya trauma hingga enggan menjamah makanan seharian.
“Mujur jiran ada mempunyai kamera pengawasan litar tertutup (CCTV) dan berjaya merakamkan gambar kejadian. Saya berharap dengan adanya bukti kukuh ini, kedua penjenayah dapat diberkas dengan segera,” katanya.