Pukul dua beradik, polis  tunggu arahan pendakwaan - Utusan Malaysia

Pukul dua beradik, polis  tunggu arahan pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menunggu arahan Pejabat Pendakwaan Negeri untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes dua beradik wanita dicederakan seorang lelaki semasa mesyuarat sebuah parti politik di Teluk Intan, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kertas siasatan kes sudah dilengkapkan dan pihaknya sudah pun mengambil keterangan lapan individu.

Menurut beliau, proses pendakwaan akan dijalankan selepas mendapat kebenaran pejabat pendakwaan.

“Kita telah mengambil keterangan lapan individu termasuk suspek lelaki berusia 42 tahun.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada pejabat pendakwaan dan kini menunggu keputusan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Anuar berkata, dalam kejadian pukul 9.30 malam, wanita berusia 32 tahun itu mendakwa ditolak oleh suspek manakala adiknya berusia 31 tahun pula ditumbuk di muka.

Katanya, kejadian berlaku ketika kedua-dua wanita itu menghadiri mesyuarat parti di sebuah hotel namun mereka dihalang untuk memasuki dewan berkenaan.

“Berlaku kekecohan setelah seorang lelaki yang ditugaskan sebagai penyelia majlis menolak wanita itu hingga jatuh dan menumbuk pula muka adiknya sehingga pengsan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dalam kenyataan berkata, pihaknya menyerahkan kepada  polis untuk menjalankan siasatan yang adil.

“Berdasarkan media ia melibatkan kes jenayah membabitkan ahli parti, Amanah menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN