PUTRAJAYA: Projek Lapangan Terbang Kulim (KXP) di Kedah hanya diteruskan setelah selesai kelulusan pelbagai pihak.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, ini termasuk perlu memenuhi pelbagai kajian dan syarat ditetapkan oleh beberapa agensi kerajaan sebelum cadangan itu dapat dipertimbangkan pula untuk peringkat kelulusan akhir.
“Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 27 Oktober hanya beri kelulusan prinsip terhadap cadangan projek itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan berbeza antara Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung situasi projek berkenaan.
Ka Siong berkata, kelulusan KXP adalah tertakluk kepada permohonan Kerajaan Negeri Kedah bagi mendapatkan pertimbangan kementerian dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Katanya, ini antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia sendiri.
“Cadangan ini juga tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang bermula awal tahun depan bagi semua 42 lapangan terbang sedia ada,” katanya.
Kajian tersebut kata beliau, termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu dan penggerak projek KXP akan diminta memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP.
Beliau menjelaskan, ia berhubung unjuran yang realistik dan tepat khususnya jangkaan permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan KXP.
“Asas cadangan KXP yang digunakan penggerak projek itu adalah bagi menyokong pengurusan penumpang dan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Pembinaan KXP menurut penggerak projek tersebut adalah wajar dipertimbangkan setelah kapasiti pengendalian LTAPP mencecah kapasiti maksimum,” jelasnya.
Namun beliau berharap unjuran itu mestilah bersandarkan asas dan data kukuh serta tepat mengambil kira pembangunan kapasiti maksimum LTAPP demi kebolehlaksanaan KXP.
Kajian laporan teknikal NASP itu, katanya turut merangkumi Penilaian Kesan Alam Sekitar, Penilaian Impak Sosial, Penilaian Impak Trafik dan lain-lain sebelum KXP diberi kelulusan akhir. – UTUSAN ONLINE