MELAKA: Program keusahawanan dalam kalangan penuntut dan graduan berpotensi menawarkan peluang menjana pendapatan kepada golongan itu di sebalik isu ketiadaan jaminan kerja kepada mereka.
Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Ir. Dr. Md. Nazri Othman berkata, program kemahiran dan gig ekonomi juga berpeluang menyuntik peluang pekerjaan sebagai satu cabang kerjaya lain.
“Kursus seperti itu direka bentuk agar selari mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat atau sektor pekerjaan ketika ini.
“Malah, kita sedar pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada peratusan kebolehpasaran graduan terutama mereka yang tamat belajar pada 2019 dan tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia yang menyatakan pihak industri tidak dapat memberi jaminan dapat menyediakan pekerjaan kepada 225,000 daripada 300,000 graduan ekoran situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan.
Mengulas lanjut, Dr. Nazri berkata, Kementerian Pengajian Tinggi juga sentiasa peka dengan senario kekangan itu, justeru mereka proaktif dalam menangani isu berkenaan dengan menyediakan program menarik bagi menyiapkan graduan.
“Program-program tersebut disediakan lengkap dengan kemahiran dan kompentesi yang diperlukan agar mereka mudah memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan UTeM, Dr. Khairuddin Osman berkata, ketiadaan jaminan pekerjaan dalam kalangan graduan ada kebenarannya ekoran situasi Covid-19 yang masih berpanjangan.
Bagaimanapun, ujarnya, perkara itu boleh diatasi bergantung kepada peranan graduan yang perlu mengambil peluang seperti program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kementerian iaitu Career Advancement Programme (CAP) terdiri daripada tiga kategori.
“Program ‘Job Matching and Placement’ misalnya mampu meningkatkan kemahiran berkompetensi dan bersasar yang diberikan kepada peserta berdasarkan keperluan industri bagi memastikan pekerjaan yang ditawarkan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Program Gig Economy pula mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui aktiviti tersebut atau aktiviti berbentuk ‘freelancing’,” katanya. – UTUSAN ONLINE