MELAKA: Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus kepada petugas barisan hadapan yang menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) sehingga hujung November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, tawaran istimewa itu bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan menggunakan perkhidmatan ditawarkan sekali gus dapat menikmati keindahan sepanjang menyusuri Sungai Melaka.
“Sebelum ini diskaun 50 peratus tersebut ditawarkan sehingga 31 Oktober namun pengurusan membuat keputusan melanjutkan tempoh promosi sehingga akhir bulan depan bagi memberi peluang kepada lebih ramai ‘frontliner’ menggunakan perkhidmatan ini.
“Mereka hanya perlu menunjukkan pas kerja masing-masing di kaunter tiket MRC sama ada di Taman Rempah atau di Dataran Muara Sungai Melaka untuk layak mendapat harga tiket promosi ditawarkan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Murad, promosi itu bukan hanya melibatkan petugas barisan depan malah mereka boleh membawa empat orang terdiri daripada ahli keluarga masing-masing yang turut diberi potongan harga sama.
Katanya, promosi yang ditawarkan diberi kepada golongan dewasa dan kanak-kanak sahaja, manakala orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dikecualikan.
“Antara objektif promosi ini adalah menarik lebih ramai pengunjung terutama pelancong domestik berkunjung ke Melaka dan menaiki bot MRC.
“Ini juga salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) PPSPM kepada ‘frontliner’ sebagai penghargaan kepada mereka yang bertungkus lumus memastikan rakyat selamat ketika menghadapi situasi Covid-19,” katanya.
Antara petugas barisan hadapan yang disasarkan adalah kakitangan Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Southern West Management (SWM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN ONLINE