TEMERLOH: Seramai 500 usahawan ukiran kayu digilap semula potensi mereka agar lebih produktif menghasilkan produk beridentitikan nasional dan berskala besar untuk pasaran tempatan serta luar negara.
Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (LPKM), Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani berkata, ini kerana daripada jumlah itu hanya 42 usahawan aktif sebagai pengukir kayu iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Dianggarkan industri ini mampu mencapai nilai pasaran tempatan antara RM150 juta hingga RM200 juta setahun malah lebih lumayan jika mendapat pasaran meluas di negara Timur Tengah, Asia dan Eropah.
“Komponen ukiran juga boleh dimanfaatkan sebagai produk nilai tambah kepada produk-produk lain terutama dalam pembuatan perabot, kapal atau produk panel,” katanya selepas melawat Pusat Inakraf Wood Carving Kampung Bangau Tanjung, di sini semalam.
Yang hadir sama Pengarah Bahagian Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, Kamaruzaman Othman dan Pengarah Pengeluaran Inakraf, A. Muhaimin Hasbollah.
Mohd. Kheiruddin berkata, kombinasi perabot yang ditambah nilai dengan seni ukiran mampu memberi pulangan harga lebih baik kerana mempunyai identiti tersendiri dan unik.
“Seni ukiran kayu berpotensi berkembang luas kerana Malaysia adalah negara mempunyai 3,000 spesies kayu yang sesuai diukir dengan pelbagai motif ukiran,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kemahiran mengukir adalah ilmu yang harus dipelajari supaya terus kekal mengikut peredaran masa.
Menurut beliau, seni ukiran kayu mempunyai nilai estetika tinggi malah identiti dan motif ukiran perlu dikekalkan bagi menjamin serta mengekalkan identiti ukiran kayu negara.
“Nilai-nilai inilah yang memberikan nilai tambah yang sangat hebat jika dapat dipasarkan dengan meluas di pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE