Polis Terengganu lupus dadah RM1.6 juta - Utusan Malaysia

Polis Terengganu lupus dadah RM1.6 juta

ROSLEE Chik (tengah) memeriksa barang kes dalam majlis Serahan Barang Kes Narkotik Untuk Program Pelupusan 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1.6 juta melibatkan rampasan dari 2018 hingga 2019.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, pelupusan dadah itu membabitkan sebanyak 3,602 kertas siasatan yang mendapat perintah mahkamah dengan melibatkan 6,778 gram pil kuda, syabu (4,239 gram), heroin (3,188 gram), ganja (5,459 gram), erimin 5 (347 gram) dan ecstacy (21 gram).

Katanya, barangan lain termasuk 2,117 ubat batuk, daun ketum (308 kilogram) dan cecair ketum (1,048 liter).

“Program pelupusan ini dijalankan setiap tahun bagi memastikan pengurusan barang kes dijalankan secara teratur dan saya ingin menegaskan Polis Terengganu komited dalam memastikan negeri ini bebas daripada dadah.

“Usaha ini secara tidak langsung mempamerkan ketelusan dan integriti polis dalam menjalankan tanggungjawab memastikan barang kes dadah dilupuskan seperti perintah mahkamah sekali gus tiada yang disalah gunakan setelah kes selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Serahan Barang Kes Narkotik Untuk Program Pelupusan 2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Tium Ming Kung.

Dalam perkembangan sama, Roslee berkata, seramai 247 penagih dadah ditahan di seluruh negeri pada tahun ini dan pihaknya optimis mencapai sasaran keseluruhan 500 orang sehingga akhir tahun melalui kerjasama dengan 15 agensi terlibat.

Katanya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM3 juta dirampas di samping mengesan penglibatan kalangan anggota dan pegawainya dalam penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Sementara itu, menurut beliau, sebanyak 100 kompaun dikeluarkan sejak 1 Oktober lalu atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN