Polis tembak tayar kereta pengedar dadah - Utusan Malaysia

Polis tembak tayar kereta pengedar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu lelaki disyaki pengedar dadah di sebuah kawasan perumahan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Salak Baru, di sini hari ini.

Tindakan itu diambil selepas lelaki terbabit bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan secara melulu sehingga hampir melanggar seorang anggota polis.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku ketika serbuan dijalankan di sebuah banglo oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dibantu anggota IPD Sungai Siput.

Katanya, anggota polis mengarahkan lelaki yang berada dalam kereta Proton Wira agar turun dari kenderaan namun suspek enggan dan cuba melarikan diri.

“Suspek yang hanya berseorangan di dalam kereta bertindak mengundurkan kenderaannya secara melulu sehingga hampir melanggar seorang anggota polis.

“Polis kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bagi menghalang suspek meloloskan diri dan dia akhirnya diberkas kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian selepas kenderaan dipandu terbabas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khaizam, selain suspek, tiga lagi rakannya turut ditahan dalam serbuan di banglo berkenaan bersama 29.1 gram dadah jenis heroin.

Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek berusia lingkungan 40 tahun itu juga mempunyai beberapa rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Ujian air kencing ke atas suspek dipercayai pengedar dadah itu juga didapati positif.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya