Polis siasat mesej tular babit Speaker DUN Melaka - Utusan Malaysia

Polis siasat mesej tular babit Speaker DUN Melaka

MOHD. NOR YHAZID IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan mesej tular membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang heboh sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, pihaknya menerima dua laporan berkaitan yang dibuat seorang wanita dan pengurusan sebuah hotel.

Katanya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan sedang dilakukan,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan bertajuk ‘Kluster Ames Hotel’ yang dimuat naik di laman Facebook mendakwa Ab. Rauf cuba melakukan serangan seksual terhadap seorang kakitangan wanita di Ayer Keroh pada 2 Oktober.

Kenyataan itu turut mendakwa, Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kononnya mengakui melakukan perbuatan terkutuk itu sebelum meminta pihak hotel untuk selesaikan secara ‘rundingan’.

Beliau turut dikatakan cuba menawarkan sejumlah wang sebagai dorongan untuk tidak membuat laporan polis dengan syarat wanita berkenaan menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Kemudian, pengurusan hotel dan wanita bernama ‘Nur Balqis’ yang didakwa sebagai mangsa serangan tampil membuat dua laporan polis berbeza di Balai Polis Ayer Keroh bagi menafikan dakwaan insiden berkenaan.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Ab. Rauf berkaitan perkara berkenaan tidak berhasil apabila panggilan telefon dan pesanan ringkas kepada beliau belum mendapat maklum balas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN