Polis Selangor, KL mula sekatan jalan - Utusan Malaysia

Polis Selangor, KL mula sekatan jalan

Mulai tengah malam tadi polis Selangor dan Kuala Lumpur mulakan sekatan jalan susulan pelaksanaan PKPB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mulai tengah malam tadi, semua laluan keluar Selangor akan diletakkan sekatan jalan raya (SJR) bagi mengekang pergerakan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Lokasi itu membabitkan laluan sempadan-sempadan Selangor ke Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Memberitahu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, SJR juga akan diadakan di sempadan-sempadan daerah polis dalam kontinjen Selangor sepanjang tempoh sehingga 27 Oktober ini.

Menurut beliau, polis Selangor akan mengerakkan secara total kekuatan kontinjen selain menerima bantuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain penguatkuasaan SJR, polis Selangor akan memperbanyakkan pasukan-pasukan pemantauan di semua lokasi panas sepanjang PKPB ini.

“Mana-mana individu ingkar PKPB akan dikenakan kompaun atau diambil tindakan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, sebanyak 29 SJR akan dilakukan di sekitar ibu negara dan Putrajaya.

Katanya, antara lokasi SJR seperti di Jalan Ampang, Loke Yew, Desa Petaling dan Sentul Pasar selain di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dimulai malam tadi.

“Di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur (IPKKL) terdapat enam daerah di bawahnya, jadi tugasan di setiap SJR ditentukan Ketua Polis Daerah masing-masing,” kata beliau.

Saiful Azly berkata, orang ramai yang perlu rentas daerah perlu menunjukkan perakuan kebenaran bertugas dan pas pekerja syarikat masing-masing.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN