Polis Kedah syor kerajaan negeri larang tanam ketum - Utusan Malaysia

Polis Kedah syor kerajaan negeri larang tanam ketum

TANAMAN tetum di kawasan rumah menjadi perkara biasa di Perlis dan Kedah, namun yang menjadi masalah apabila daun berkenaan disalahgunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. - UTUSAN/ MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya melarang penduduknya menanam pokok ketum  dalam usaha mengekang penyalahgunaan tumbuhan tersebut dalam kalangan penduduk yang semakin membimbangkan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan untuk tindakan lanjut pihak kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

“Polis boleh syorkan dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk melihat kesesuaian tindakan yang boleh diambil mengikut undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Townhall Kempen Kesedaran Bahaya Ketum di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengenai pelaksanaan penebangan pokok ketum seperti dilakukan di Perlis pada 30 September lalu.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan polis akan mengemukakan cadangan berhubung beberapa cadangan kawalan termasuk pindaan pada Kanun Tanah Negara kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dibentangkan di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan.

“Pindaan itu adalah bagi membolehkan kerajaan negeri meletakkan sekatan penanaman ketum di kawasan tanah yang telah dipindah milik,” jelasnya.

Tambahnya, isu penyalahgunaan ketum tidak akan berkesudahan jika tumbuhan tersebut masih dibenarkan ditanam.

“Penguatkuasaan seperti tangkapan dan rampasan ketum akan terus berlaku selagi pokok-pokok ini tidak dimusnahkan,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Perundangan/Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Superintenden S. Chandra Segaran berkata, rampasan ketum di Kedah sepanjang tahun lalu ialah 18,958 kilogram (kg) manakala bagi tempoh antara Januari hingga bulan lalu, jumlah rampasan mencecah 17,810kg.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN