Polis Johor keluar 262,272 saman kepada warga asing - Utusan Malaysia

Polis Johor keluar 262,272 saman kepada warga asing

AYOB Khan Mydin Pitchay (dua dari kiri) melawat Kaunter Semakan dan Bayaran Saman IPD Pontian, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Polis negeri mengeluarkan 262,272 saman trafik kepada warga asing yang didapati melakukan kesalahan jalan raya bermula 2010 sehingga 30 September lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hanya 68,860 orang atau 26 peratus warga asing yang menjelaskan saman tersebut sehingga kini.

“Berhubung warga Singapura, tiada waran tangkap dikeluarkan kepada mereka memandangkan proses pembayaran boleh dibuat menerusi dalam talian.

“Bagi rakyat negara itu yang belum bayar, polis melakukan pemeriksaan di pintu masuk sempadan dan mereka diarahkan bayar saman di balai polis berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Kaunter Semakan dan Bayaran Saman Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pematuhan rakyat Johor terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semakin meningkat berikutan jumlah kompaun dikeluarkan menurun.

Katanya, sebanyak 3,564 kompaun dikeluarkan kepada individu yang melanggar SOP manakala 1,322 masih belum menjelaskan saman dikeluarkan.

“Alhamdulilah, saya lihat pematuhan rakyat negeri ini semakin meningkat dan tiada kes lagi melanggar kurantin.

“Kita tidak mahu wujud ada kluster baharu di Johor, semua perlu sentiasa patuh bagi elakkan penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN