Polis bongkar sindiket tanam dadah - Utusan Malaysia

Polis bongkar sindiket tanam dadah

HASANUDDIN Hassan (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah jenis heroin yang dirampas dalam tangkapan berasingan di Langkawi, Kedah, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Polis membongkar taktik licik satu sindiket pengedaran dadah yang dikesan menanam dadah di tepi rumah selain menyembunyikannya di celah dinding pondok kayu dalam tangkapan berasingan di sini, Rabu lalu.

Dalam tangkapan bermula pukul 1 petang itu, polis me­rampas kira-kira 11.5 kilogram dadah heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM594,200.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, berdasarkan maklumat dan risikan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan seorang lelaki berusia 24 tahun bersama 1.03 gram syabu di hadapan sebuah rumah di Taman Cenderawasih di Kampung Mata Air di sini.

Kata beliau, pihaknya kemudian melakukan satu lagi tangkapan melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun di dalam bilik rumah tersebut dan menemukan syabu seberat 57 gram.

“Hasil soal siasat, suspek kedua mengaku ada menyimpan dadah di lokasi berbeza di sebuah pondok di Kampung Bayas sebelum dibawa ke lokasi tersebut.

“Suspek kemudian me­n­ye­rahkan sebuah beg berwarna hitam mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat 102 gram dan dan heroin seberat 103 gram disembunyikan di celah dinding kayu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Langkawi di sini semalam.

Menurut Hasanuddin, hasil soal siasat, pihaknya menahan suspek ketiga berusia 31 tahun bersama 15.03 gram heroin di kawasan letak kereta di Jalan Penarak, di sini.

“Siasatan seterusnya membawa kepada tangkapan suspek keempat berusia 53 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Tangga di sini yang mengaku menanam dadah tersebut di dalam tanah sedalam kira-kira 0.5 meter di kawasan tepi rumahnya.

“Pasukan polis kemudian bertindak menggali kawasan berkenaan sebelum menemukan rampasan terbesar iaitu 11.446 kilogram dadah disyaki heroin di dalam guni putih berisi beg galas yang dibungkus beg plastik biru,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua rampasan dadah heroin dan sya­bu dalam semua tangkapan tersebut dianggarkan bernilai RM594,000 dan merupakan rampasan dadah terbesar di Langkawi setakat ini.

“Suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 39B akta sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN