BENTONG: Seorang penyelia ladang terkejut dan pelik apabila sebatang pokok kelapa sawit di sebuah ladang persendirian di Telemong dekat sini tumbuh bercabang dua.
Mohd. Asra Jali yang bekerja di ladang itu sejak lima tahun lalu berkata, dia menemukan pokok yang berbentuk seolah-olah cabang lastik ketika memantau ladang itu semalam.
“Saya pelik kerana sudah lama menjaga ladang tetapi semalam baru perasan ada pokok kelapa sawit bercabang dua macam batang lastik.
“Pokok sawit berkenaan tumbuh sama seperti pokok biasa cuma ia bercabang di tengah dan sudah tentu menghasilkan buah yang lebih kerana mempunyai dua cabang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mohd. Asra, pokok berusia 17 tahun itu mengeluarkan hasil sawit seperti pokok-pokok lain di situ.
“Saya tidak pasti mengapa pokok kelapa sawit itu bercabang tetapi saya akan terus menjaga pokok terbabit seperti biasa kerana ia begitu unik dan mengeluarkan hasil,” katanya
Katanya, pada masa ini ladang seluas 9.3 hektar mengeluarkan hasil sawit purata satu metrik tan sebulan.- UTUSAN