ALOR SETAR: Jabatan Penjara mengambil inisiatif mewartakan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini sebagai penjara sementara bagi membendung jangkitan Covid-19 di Penjara Alor Setar, di sini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, PLKN terbabit juga dijadikan sebagai pusat rawatan dan kuarantin.
Beliau berkata, langkah tersebut diambil sebagai tambahan kepada pusat rawatan sedia ada yang diwujudkan dalam penjara.
“Rawatan untuk banduan dijangkiti Covid-19 sebenarnya dibuat dalam penjara tersebut tetapi jabatan penjara juga ada buka pusat PLKN untuk diwartakan sebagai penjara sementara, selain menempatkan banduan dijangkiti di hospital.
“Ada bentuk jangkitan dan kategori banduan tertentu. Contohnya mereka yang hampir bebas dibenarkan dirawat di hospital atau pusat PLKN ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau setakat ini bagaimanapun belum mendapat maklumat lanjut mengenai jumlah pusat PLKN dan lokasinya yang dijadikan sebagai pusat rawatan serta isolasi tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman memberitahu, jumlah katil dan peralatan di HSB masih mencukupi untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri ini.
“Ketika ini wad kelas pertama dan kedua banyak digunakan untuk merawat mereka yang dijangkiti.
“Kita masih mampu menempatkan pesakit Covid-19 di HSB tetapi pada masa depan, tak tahulah lagi. Disebabkan itu, Jabatan Kesihatan Negeri mengadakan perbincangan mengenainya,” katanya.
Selain itu, menurutnya, ketika ini juga tiada dalam kalangan tahanan di Penjara Alor Setar yang memerlukan bantuan oksigen atau perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). – UTUSAN ONLINE