KLANG: Beberapa penduduk Kampung Sungai Udang di Mukim Klang, di sini terlupa mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini dan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Tinjauan mendapati ada beberapa penduduk ke masjid di kampung mereka untuk menunaikan solat sebelum berpatah balik selepas membaca notis yang ditampal di pintu masuk rumah ibadah berkenaan.
Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Azhar, 50, berkata, dia bukannya ingkar arahan kerajaan tetapi terlupa pelaksanaan PKPB mulai hari ini.
“Ini hari pertama dan saya bersama beberapa penduduk terlupa. Perkara ini bukan selalu berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan masjid tersebut hari ini.
Seorang ahli kariah, Yazid, 54, pula berkata, pada awalnya memang berasa kecewa kerana tidak dapat menunaikan solat tetapi akur demi keselamatan berikutan peningkatan pandemik Covid-19.
“Ini semua ujian bagi umat Islam semasa Covid-19. Ibadah solat Jumaat boleh kita gantikan dengan solat Zohor dan tunaikan solat di rumah,” ujarnya.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan berkata, masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran ditutup dalam tempoh PKPB.
Selain itu, semua operasi pasar malam dan aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya turut dihentikan sementara.
Turut terkesan sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak- kanak, taman awam, pusat rekreasi, taman permainan dalaman dan luaran. – UTUSAN ONLINE