KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan mula menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai tengah malam tadi.
Ekoran itu jalan-jalan keluar masuk utama mula dikawal oleh pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera bermula tengah malam tadi.
Tinjauan d sekitar ibu negara malam tadi mendapati sekatan jalan raya sudah diadakan di beberapa laluan utama.
Sementara itu Bernama melaporkan, dua laluan masuk ke Shah Alam dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sesak teruk pagi tadi susulan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh polis yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.
Tinjauan BERNAMA mendapati kesesakan trafik hampir satu kilometer di kedua-dua susur masuk di Persimpangan HICOM dari KESAS menuju Shah Alam itu susulan pelaksanaan SJR di Persiaran Kuala Selangor.
Pada masa sama, kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di laluan keluar dari Plaza Tol Setia Alam menghala Subang berikutan SJR dilaksanakan di kawasan berkenaan namun ia kembali pulih kira-kira 9 pagi tadi.
Isnin lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula hari ini hingga 27 Oktober depan berikutan peningkatan kes COVID-19.