Pesara warga emas didakwa terima suapan  - Utusan Malaysia

Pesara warga emas didakwa terima suapan 

Abd. Rahim Ali (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 27 Oktober 2020 atas pertuduhan menerima suapan RM4,000. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas penolong pegawai Jabatan Perikanan berusia 62 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM4,000, tiga tahun lalu. 

Tertuduh, Abd. Rahim Ali, mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan,  Abd. Rahim yang ketika itu bertugas di Jabatan Perikanan Negeri Melaka menerima suapan RM4,000 daripada pemilik Syarikat Rahim Maarof Enterprise sebagai upah memberikan kerja-kerja pembekalan tong insulasi 75 liter ke jabatan berkenaan.

Kesalahan dilakukan  antara pukul 11.30 pagi hingga 1 petang di Jabatan Perikanan Negeri Melaka di Batu Berendam pada 8 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah  dengan alasan sumber pendapatan hanya daripada wang pencen dan masih perlu membayar wang pinjaman perumahan. 

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai. 

Beliau menetapkan tarikh 24 November depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya