IPOH: Kajian terhadap persepsi masyarakat menunjukkan hampir 80 peratus pegawai dan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) mengamalkan rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Razim Mohd. Noor berkata, peratusan diperoleh daripada tinjauan awam menerusi kajian terhadap persepsi masyarakat khususnya dalam kalangan peniaga ke atas PBT.
Katanya, tugas dan peranan PBT yang kerap bertemu masyarakat di lapangan menjadi antara faktor menyumbang kepada persepsi berkenaan.
“Berdasarkan kajian, PBT berada pada senarai teratas dari segi persepsi negatif masyarakat sehingga apabila kita melakukan tinjauan mudah, persepsi masyarakat khususnya peniaga terhadap warga PBT yang terlibat rasuah adalah sebanyak 80 peratus.
“Peratusan tinggi itu mungkin berbeza dengan jumlah sebenar yang mana mereka yang terlibat sama ada dalam memberi atau menerima rasuah ini adalah sekitar 20 peratus,” katanya pada program PBT Perangi Pemberi Rasuah dan Eksekutif Talk ‘Hala Tuju PBT ke arah Organisasi Bebas Rasuah’ di sini semalam.
Menurut beliau, setiap PBT perlu memperkasa integriti bagi memastikan tiada ruang untuk persepsi negatif terhadap agensi tersebut.
Katanya, tindakan yang betul berlandaskan undang-undang perlu diambil setiap kali berhadapan dengan kesalahan dan aduan rakyat.
“Rasuah ini berkait rapat dengan persepsi, jadi janganlah sampai ada orang kata sudah lapor, tetapi tidak diambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, PBT di Perak akan dijadikan sebagai negeri penanda aras bagi program Hala Tuju PBT ke arah Organisasi Bebas Rasuah sebelum ia dilaksanakan di negeri-negeri lain pada tahun depan.
“Menjadi hasrat SPRM untuk mendapatkan kerjasama kerajaan negeri dan PBT dalam menangani jenayah rasuah. Melalui memperkasakan integriti dan menjauhi rasuah, kita dapat mengembalikan maruah dan martabat penjawat awam.
“Kita ada maruah, terlibat dengan rasuah bukan sahaja menjatuhkan maruah peribadi malah menjejaskan maruah organisasi yang kita pimpin,” katanya. – UTUSAN ONLINE