Perlu keseimbangan pembangunan luar bandar - Mohd. Ali - Utusan Malaysia

Perlu keseimbangan pembangunan luar bandar – Mohd. Ali

MOHD. ALI MOHD. RUSTAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri diminta melihat keseimbangan pembangunan masyarakat di kawasan luar bandar yang memerlukan kegiatan ekonomi untuk pembangunan ekonomi negeri secara holistik.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, peluang ekonomi masyarakat luar bandar juga sama pentingnya bagi mewujudkan keseimbangan serta mengurangkan kepadatan bandar melalui migrasi masyarakat.

“Koridor ekonomi baharu yang dinamakan Melaka Waterfront Economic Zone amat baik dan bertepatan serta selari dengan negeri-negeri lain yang mempunyai wilayah koridor masing-masing yang sudah pasti mampu menarik pelaburan berskala besar.

“Bagaimanapun, saya berharap pentadbiran kerajaan negeri dapat juga melihat kepada keseimbangan pembangunan bagi masyarakat di luar bandar,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Sementara itu, Mohd. Ali turut menyuarakan pendapatnya tentang proses membuat, melaksanakan keputusan dan memantau pelaksanaan itu yang perlu disegerakan di semua peringkat jabatan dan agensi kerajaan.

Kata beliau, masa yang berlalu tidak akan kembali dan peluang yang terhidang perlu diterjemahkan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad mendahului penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM), membawa gelaran Datuk Seri.

Bagaimanapun, kedua-dua Menteri Kabinet itu tidak dapat hadir ke istiadat penganugerahan tersebut kerana sedang menjalani kuarantin kendiri akibat Covid-19.

Turut menerima darjah kebesaran sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Firuz Jafril dan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamed Farid Abu Hasan.

Empat penerima lagi menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira termasuk Ketua Polis negeri, Datuk Mat Kasim Karim; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Sazali Muhd. Din; Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Tujuh penerima pula disenaraikan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, M. Ravi dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Rahmad Mariman.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismail Ali; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Abd. Kadir Md. Idris dan Pesuruhjaya Pas Melaka yang juga Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Kamarudin Sidek turut menerima DMSM.

Penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk termasuklah Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd. Ajis; Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Norhayati Rusli; Ketua Jabatan Pengurusan PDRM, Senior Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Shadan Othman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya