KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menerima sebanyak 421 aduan gangguan melibatkan pelbagai spesies hidupan liar bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 456 kes sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, aduan itu melibatkan gangguan spesies hidupan liar seperti kera, beruk, beruang, babi dan gajah.
Katanya, kampung terlibat ialah di jajahan Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah.
“Bilangan aduan melibatkan gajah liar sahaja pada tahun ini adalah sebanyak 128 kes manakala tahun sebelumnya sebanyak 125 kes dilaporkan.
“Kebanyakan aduan diterima kerana hidupan liar itu menganggu dan memusnahkan tanaman penduduk kampung,” katanya di sini hari ini.
Ady Ermanty Haniff berkata, untuk tempoh itu juga, bilangan gajah yang ditangkap dan dilepaskan adalah 12 ekor untuk tahun ini manakala tahun lepas sebanyak 10 ekor.
Katanya, langkah diambil bagi mengatasi masalah ancaman dan gangguan hidupan liar antaranya menjalankan khidmat nasihat, pemantauan, tembak halau, pemasangan perangkap dan tangkap pindah di kawasan dikenal pasti.
“Kita turut bekerjasama dengan agensi lain bagi mitigasi pengurusan termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Namun apa yang lebih utama ialah tindakan bagi menyedarkan orang awam dan semua pihak bahawa konflik ini adalah isu bersama.
“Konflik gangguan hidupan liar kebiasaannya berlaku berdasarkan waktu aktif spesies itu. Sebagai contoh, gangguan kera kebiasaannya berlaku pada waktu siang manakala gajah pula pada waktu malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE