LUMUT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kejadian langgar lari di Kilometer 4, Jalan Pantai Remis-Pengkalan Baru dekat sini, hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, G. Ravintar, 37, yang beralamat di Ladang Serapoh, Parit, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mempercayai mangsa yang menunggang motosikal Honda Ex-5 dalam perjalanan dari Pantai Remis menghala ke Pengkalan Baru.
“Mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan lain yang tidak pasti jenis dan nombor pendaftarannya.
“Kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal berkenaan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nor Omar, usaha mencari dan mengesan kenderaan yang melanggar mangsa masih diteruskan.
Beliau meminta mana-mana saksi bebas yang melihat kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Nithiya di talian 011-33500945.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE