PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sedia memberikan kelulusan segera kepada permohonan jawatan diperlukan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya ada sistem membuat pelantikan segera bagi keperluan khas seperti KKM.
“KKM boleh minta berapa banyak jawatan yang diperlukan untuk pihak kita pertimbangkan. Kita pernah luluskan 2,000 ke 3,000 jawatan bergantung kepada keperluan.
“Sebaik permohonan sampai kepada SPA, kita akan proses kerana kita ada sistem kelulusan dalam tempoh 24 jam dan tiada isu kelewatan timbul,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9) yang ditambah baik daripada sistem sedia ada iaitu SPA8i.
Minggu lalu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa KKM melantik petugas barisan hadapan perubatan secara tetap kerana kerajaan meluluskan 10,560 waran perjawatan baru-baru ini.
Cuepacs menerima maklum balas daripada petugas terbabit yang menyatakan mereka menjalankan tugas sebagai lantikan kontrak malah ada yang menerima lantikan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Antara jawatan ditawarkan secara kontrak adalah pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan, jururawat dan pembantu perawatan kesihatan.- UTUSAN