Peniaga perlu papar harga sebenar pada produk - KPDNHEP Selangor - Utusan Malaysia

Peniaga perlu papar harga sebenar pada produk – KPDNHEP Selangor

MUHAMAD ZIKRIL AZAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengelirukan pengguna dengan memaparkan harga berlainan pada produk jualan.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, amaran itu diberikan susulan pihaknya menerima sebanyak 1,989 aduan berkaitan harga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Sejak PKP, kita menerima 3,565 aduan tetapi masalah harga antara yang tertinggi. Kesalahan dilakukan peniaga adalah harga yang dibayar berlainan dengan dipaparkan dan tidak meletakkan harga.

“Aduan kedua tertinggi pula ialah melibatkan peniaga dalam talian sebanyak 1,458 yang mana mereka menjual barangan yang berbeza dari iklan, berlainan mutu dan barang dijual tidak sampai kepada pengguna. Manakala, aduan selebihnya berkaitan dengan barangan keperluan harian.

“Secara keseluruhan, sepanjang PKP kita telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM286,450 melibatkan 562 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguat kuasa Ke-48, di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Muhamad Zikril Azan berkata, pihaknya mengakui bahawa wujud peningkatan pembelian di beberapa buah pasar raya sejak semalam.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada pembelian panik kerana pengguna sedia maklum bahawa sektor ekonomi masih boleh diteruskan sepanjang pelaksanaan PKPB.

“Secara keseluruhan, kita telah memeriksa kira-kira 431 premis dan bekalan keperluan harian terutama barangan bersubsidi mencukupi seperti gula sebanyak lebih 10 juta kilogram (kg); minyak masak (2 juta kg) dan tepung (1 juta kg).

“Oleh demikian, kita menjangkakan barangan keperluan harian sepanjang PKPB ini mencukupi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya