Pengusaha resort Pulau Kapas `termenung' - Utusan Malaysia

Pengusaha resort Pulau Kapas `termenung’

Suasana Jeti Marang yang sepi kerana ramai pelancong membatalkan tempahan ke Pulau Kapas pada 9 Oktober 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Gelombang baharu penularan Covid-19 menyebabkan ramai pengusaha resort di pulau peranginan di negeri ini terpaksa menanggung kerugian akibat pembatalan tempahan bilik.

Pengurus Kapas Coral Beach Resort di Pulau Kapas, Mohd. Iza Azami Hashim berkata, sejak seminggu lalu hampir 50 peratus tempahan bilik dibatalkan dan membabitkan nilai RM20,000.

Menurut beliau, pusat-pusat peranginan baru mahu bangkit tetapi ditimpa musibah lagi sekali.

“Kebimbangan pelancong terhadap wabak Covid-19 menjejaskan kedatangan pelancong malah hari ini (semalam) pihaknya menerima 60 pengunjung berbanding kelaziman antara 250 hingga 300 orang sehari.

“Kebiasaannya hujung minggu memang sesak hingga petang tetapi suasana di jeti bertukar lengang sejak seminggu ini dan daripada 13 bot yang kami ada, hanya dua bot digunakan membawa pelancong di sebelah pagi,” katanya ketika ditemui di Jeti Marang di sini semalam.

Mohd. Iza berkata, dalam kalangan pengusaha bot kini ramai yang termenung menunggu pelancong sebelum pulang dengan wajah suram kerana tiada pelanggan.

Ujarnya, pengusaha bot dan pusat peranginan di negeri ini biasanya menutup menerima tempahan pada November kerana kedatangan tengkujuh tapi tahun ini mungkin kena tutup lebih awal kerana Covid-19.

“Bagi memastikan perniagaan resort keluarganya tidak terjejas akibat pandemik Covid-19, tawaran harga istimewa diperkenalkan kepada pelancong.

“Harga bagi pakej pelancongan harian ke Pulau Kapas termasuk bot dan aktiviti bersnorkeling RM50 untuk dewasa berbanding RM65 yang dikenakan dahulu manakala RM30 untuk kanak-kanak.

“Bagi penginapan di Kapas Coral Beach Resort pula, pelancong berpeluang menikmati potongan harga sebanyak 10 peratus bagi setiap bilik,” katanya.

Pulau Kapas ada 11 pengusaha resort dan masing-masing sedang mengeluh.

Sementara itu, seorang pengendali pakej pelancongan harian Pulau Kapas, Mohd. Azli Yah turut terkesan dengan pelancong membatalkan tempahan bot susulan peningkatan kes Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya