JOHOR BAHRU: Seorang pengerusi koperasi peladang dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM300,000 September lalu.
Alan Lim Boon Siong, 41, dijatuhkan hukuman itu selepas selepas mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala empat tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman tersebut diarahkan berjalan berasingan.
Pertuduhan pertama, Alan selaku Pengerusi Koperasi Peladang Jaya Pekan Nanas Pontian menyalahguna kedudukannya dengan memindahkan dana koperasi ke dalam akaun peribadi miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Pekan Nanas dengan memindahkan dana berjumlah RM100,000 ke dalam akaun peribadi pada 1 September lalu.
Pertuduhan kedua, tertuduh yang menjawat jawatan itu sejak 2015 didakwa memindahkan dana RM200,000 ke dalam akaun peribadi di lokasi sama pada 7 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.
Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana masih perlu menanggung isteri dan ibu bapa yang sudah berusia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN