REMBAU: Penduduk Kampung Padang Lebar, Kota dekat sini bimbang apabila jambatan yang menjadi penghubung ke kampung itu berisiko runtuh akibat hakisan sungai.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati binaan batu sangkar bagi mengelak hakisan sudah jatuh menyebabkan hakisan semakin teruk.
Menurut penduduk, Ibrahim Ishaq, 60, dia menyedari hakisan selepas berlakunya hujan lebat dan banjir pada bulan Ogos lalu.
“Binaan batu sangkar yang jatuh menyebabkan aliran air deras menghentam struktur jambatan di bahagian bertentangan. Ikutkan di bawah jambatan ini sudah semakin kosong dari hari ke hari.
“Bimbang juga jika tidak dibaiki, kami enam buah keluarga di perkampungan ini akan terputus hubungan dengan laluan utama,” katanya kelmarin.
Ibrahim berkata, dia sudah melaporkan kepada pihak bertanggungjawab namun sehingga ke hari ini belum ada tanda-tanda jambatan akan dibaiki.
“Kalau tak bahaya tak apa, tapi lubang makin dalam dan bahagian bawah jambatan ini pun sudah mula merenggang. Saya harap jambatan ini akan segera diperbaiki.
“Apabila hari hujan, aliran air memang deras, jika ini berterusan, tidak mustahil hakisan bertambah buruk sehingga menyebabkan kami terputus hubungan,” katanya. – UTUSAN