LANGKAWI: Penduduk di pulau legenda ini berpesta mengutip siput kabung yang banyak terdampar di Pantai Chenang sejak dua hari lalu.
Penduduk mendakwa, fenomena luar biasa itu berlaku ketika ombak kuat dan keadaannya menjadi lebih menarik dilihat ketika air laut surut.
Siput kabung iaitu sejenis siput laut yang mirip kepada siput kupang tetapi isinya kecil sedikit, lebih lembut dan manis.
Seorang penduduk, Ruhaya Mohd. Hassan, 47, berkata, penduduk di pulau ini tidak melepaskan peluang untuk mengutip siput kabung apabila banyak terdampar di pantai ini.
Menurutnya, suasana di situ cukup meriah dengan kehadiran kira-kira 100 penduduk untuk mengutip siput yang terdampar sepanjang kira-kira 1.5 kilometer.
“Ia bukan saja menarik perhatian penduduk tempatan, malah pelancong turut beramai-ramai mengutip siput tersebut,” katanya di sini hari ini.
Abdul Rashid Ahmad, 33, pula berkata, beberapa kawasan pantai lain di pulau ini juga terdapat siput tersebut.
“Sejak awal pagi penduduk memenuhi pantai itu untuk mengutip siput itu,” katanya.
Sementara itu, Naseriah Husain, 53, berkata, dia mengutip siput itu antara tiga hingga lima kilogram untuk dimakan bersama keluarga.
“Siput ini sedap dimasak lemak dan sayur air serta dibuat kerabu,” katanya. – UTUSAN ONLINE