Pendekkan masa operasi kedai serbaneka, restoran - Utusan Malaysia

Pendekkan masa operasi kedai serbaneka, restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebenaran beroperasi sehingga pukul 2 pagi bagi kedai serbaneka dan restoran antara aspek yang perlu dikaji semula selepas semua negeri mencatatkan kes baharu Covid-19.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof. Datuk Dr. M. Subramaniam berkata, kerajaan perlu memendekkan operasi sehingga pukul 12 tengah malam untuk premis terbabit seperti mana yang dilakukan sebelum ini sekiranya kes terus mencatatkan peningkatan dalam tempoh beberapa hari.

Katanya, langkah bersifat sementara itu wajar dan perlu diambil segera bagi mengelakkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pandemik Covid-19.

“Jika dikenakan PKP semula, sudah tentu banyak perniagaan rugi. Mungkin dengan tindakan mengurangkan operasi sehingga pukul 12 tengah malam adalah antara langkah terbaik.

“Andai kerajaan mahu melak­sanakan tindakan lebih tegas seperti larangan makanan di restoran atau kedai dan hanya membenarkan bungkusan sahaja, itu terpulang. Namun, buat masa ini mereka (restoran) ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti menca­tatkan suhu pelanggan,” kata­nya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kerajaan sebelum ini melan­jutkan waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka sehingga pukul 2 pagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 260 kes positif baharu dicatatkan, satu angka yang membimbangkan banyak pihak.

Kelmarin, semua negeri kembali merekodkan kes baharu dan tiada negeri dalam Zon Hijau berdasarkan klasifikasi kawasan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr. M. Subramaniam berkata, kesedaran orang ramai dengan mengikut SOP adalah perkara paling pen­ting bagi mengekang penularan Covid-19.

“Ikut semua SOP yang ditetapkan kerana inilah langkah terbaik ditetapkan oleh kerajaan. Kita terbukti berjaya sebelum ini mengurangkan pandemik Covid-19.

“Jadi inilah langkah sebaik­nya untuk pastikan tiada penularan dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan perniagaan serta sektor ekonomi,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya