GUA MUSANG: Seorang lelaki nyaris maut selepas treler sarat muatan balak yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, Cho Chee Meng, 60, yang berasal dari Kuala Krai, dekat sini mengalami luka di dahi, tangan dan perut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan itu melibatkan empat kenderaan di lokasi kemalangan berkenaan.
Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika treler itu dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
“Setibanya di lokasi, sebuah kereta Proton Wira cuba memotong sebuah kenderaan lain tetapi tidak lepas sebelum memasuki semula ke laluannya.
“Kejadian itu menyebabkan kereta terbabit bergesel dengan treler menyebabkannya hilang kawalan lalu terbalik hingga berpuluh kayu balak bergelimpangan atas jalan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Taufik berkata, pada masa sama, dua lari kereta dari arah yang sama menekan brek seacara mengejut sebelum terbabas.
Katanya, pemandu Perodua Viva, Muhammad Shafiq Sidik, 26, dan pemandu sebuah lagi Proton Wira, Muhamad Azfar Hassam, 22, cedera ringan.
“Kemalangan itu menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya kerana kayu balak daripada treler yang terbalik menghalang laluan.
“Trafik kembali lancar sebaik sahaja kerja memindahkan kayu balak itu dilakukan dalam masa setengah jam,” katanya. – UTUSAN ONLINE