MELAKA: Perjalanan seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghantar penyata elektrik berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Parit Melana, One Krubong di sini.
Dalam kejadian pada pukul 12.25 tengah hari itu, Syamsul Mohd. Salim, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah bandar menghala ke One Krubong.
“Hasil siasatan awal, kita mendapati mangsa dalam perjalanan menghantar penyata elektrik ke kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, ketika di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa tiba-tiba dihimpit sebuah kenderaan lain menyebabkan dia terbabas ke pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kenderaan terlibat dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE